Thursday, January 1, 2009

Pemimpin kutuk serangan Israel

Pemimpin kutuk serangan Israel


PBB, Obama diminta henti segera keganasan

KUALA LUMPUR: Pelbagai lapisan pemimpin termasuk daripada kerajaan, pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk keganasan Israel terhadap penduduk Gaza yang mengakibatkan hampir 300 rakyat Palestin terkorban.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar kekejaman rejim Zionis yang menyerang Semenanjung Gaza kelmarin kerana ia tindakan di luar batas kemanusiaan.

"Rakyat Palestin perlu diberi hak mentadbir negara mereka sendiri dan tidak ada sebab Israel menggunakan kekerasan berlebihan di Gaza dan menghukum rakyat Palestin," katanya selepas majlis sambutan Maal Hijrah 1430H/2008M, di Putrajaya, semalam.


Beliau mengulas serangan udara rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza yang menyebabkan 290 terbunuh manakala 780 lagi cedera dalam tempoh 24 jam.

Serangan jet tentera Israel itu ke atas 250 sasaran di wilayah pentadbiran Hamas termasuk ibu pejabat keselamatannya, masjid, stesen televisyen, trak bekalan minyak dan gudang farmasi.

Israel yang mendapat sokongan sekutu terdekatnya Amerika Syarikat (AS), menamakan kempen terbaru ketenteraannya di Gaza sebagai Operation Cast Lead, memulakan serangan menggunakan 60 jet pejuang ke atas 50 sasaran dalam beberapa minit.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata tindakan kejam rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza harus dihentikan dan menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta AS menghantar pasukan tentera pengaman di sempadan kedua-dua negara itu.

"Jika AS benar-benar mahukan keamanan, perkara itu boleh dilakukan segera dengan menghantar tentera pengaman di sempadan Israel dan Palestin," katanya ketika berucap pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Maal Hijrah 1430H peringkat negeri Melaka, di Masjid Al-A'zim, malam kelmarin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata keganasan Israel itu adalah pembersihan etnik atau bangsa dan harus mendapat perhatian segera masyarakat antarabangsa.

"PBB harus mengambil pendirian tegas dan mengembalikan proses damai antara Palestin dan Israel seperti yang terkandung dalam komitmen pada Persidangan Annapolis.

"Tindakan keganasan terbaru Israel ini adalah cabaran terkini terhadap dasar luar AS di bawah pentadbiran Presiden baru, Barack Obama," katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut mengutuk tindakan Israel, berkata walau apa jua alasan Israel untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas rakyat Palestin, ia tidak akan menyelesaikan masalah termasuk politik.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut meminta kerajaan memanggil Duta AS di ibu negara dengan segera bagi menyampaikan bantahan rakyat terhadap sokongan membuta tuli negara itu kepada Israel.

Presiden Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd Taqiuddin Abdullah menggesa semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat sepanjang Muharam 1430 Hijrah bagi mendoakan keamanan dan keselamatan bumi dan rakyat Palestin.
>