Saturday, April 4, 2009

LARANGAN MEMINTA JAWATAN SEBAGAI PEMIMPIN

JANGAN MEMINTA JAWATAN SEBAGAI PEMIMPIN

Daripada Abdul Rahman Ibn Samurah, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Wahai Abd Rahman Ibn Samurah janganlah engkau memohon sesuatu jawatan pemimpin (kepimpinan). Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu), maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberika kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong (untuk mengatasinya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis diatas disebut, Janganlah kamu meminta-minta sebarang jawatan pemimpin dan kepimpinan. Tegahan tersebut juga meliputi sesiapa yang bericta-cita atau berhasrat untuk meminta dan memohon apa jenis jawatan sebagai pemimpin. Kerana amir itu boleh membawa erti yang luas yang meliputi, Ketua, Sultan, Raja, Hakim, Kadi, Khalifah, Menteri dan sebagainya yang bertindak sebagai pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kemaslahatan masyarakat.

Di dalam hadis diatas juga ada menyebut jika seseorang itu memohon dan meminta jawatan dengan cita-citanya maka jawatan kepimpinan itu akan diserahkan dan diberikan dengan menanggung bebanan sepenuhnya. Ia juga membawa maksud jawatan kepimpinan yang diberikan atas dasar permintaan seseorang itu, ia akan diserahkan tanpa mendapat pertolongan dari Allah S.W.T dan masyarakat untuk menyelesaikan masalah atau apa sahaja yang berkaitan dengan kepimpinan. Dia seorang yang akan bersendirian menanggung segala bebanannya.

Dalam hadis tersebut difahami bahawa Nabi s.a.w tidak menggalakkan atau Nabi s.a.w menegah memohon jawatan penguasa atau pemimpin itu kerana jawatan atau tanggungjawabnya yang besar dan semua itu akan dipersoalkan atau ditanya oleh Allah S.W.T. Sekiranya tidak dapat berlaku adil akan membawa kecelakaan pada hari kiamat nanti. Sebagaimana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

“Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Seorang suami sebagai pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri pemimpin dan bertanggungjawab atas penggunaan harta suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Dan khadam atau pelayan itu bertanggungjawab terhadap harta majikannya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seseorang anak bertanggungjawab terhadap penggunaan harta milik ibubapanya dan ia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.”

Dalam hadis tersebut diatas, Nabi s.a.w menjelaskan bahawa kepimpinan itu tidak digalakkan diminta dan sesiapa yang meminta sebarang jawatan kepimpinan yang mana ia tidak berkemampuan adalah dibenci dalam Islam. Ini adalah kerana seseorang yang tidak berkemampuan akan menyebabkan tanggungjawab yang dipikulnya itu tidak sempurna dan sudah tentu akan menyebabkan kecelakaan terhadap dirinya pada hari kiamat nanti. Hal ini dapat dijelaskan melalui hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Hurairah:
“Sesungguhnya kamu akan berminat atau berhasrat (bercita-cita) terhadap jawatan kepimpinan dan ia nanti akan membawa penyesalan pada hari akhirat.”

Islam tidak menggalakkan umatnya meminta sebarang jawatan kepimpinan khususnya bagi sesiapa yang tidak dapat memastikan dirinya dapat menunaikan tanggungjawab tersebut dengan adil dalam erti kata sebenarnya. Disebabkan untuk menunaikan keadilan perkara yang sukar, maka sebab itulah sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar dan Umar tidak meminta jawatan tersebut malahan dalam kes mereka dilantik sekalipun mereka akan cuba memindahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain yang dirasakan orang lain lebih berhak dan lebih layak untuk berlaku adil berbanding dirinya.

Begitu juga Abu Bakar yang dilantik sebagai pemerintah masih dirasakan dirinya perlu dibantu dan tanggungjawab tersebut adalah berat sebagaimana ucapan beliau di hadapan kaum muslimin sewaktu perlantikannya sebagai khalifah:
“Wahai kaum muslimin semua, kamu telah melantik aku sebagai pemimpin kamu sedangkan aku merasakan aku bukan orang yang terbaik di kalangan kamu. Begitu pula kiranya aku berlaku benar dan adil, bantulah aku dan sekiranya aku menyeleweng perbetulkanlah”

Jawatan kepimpinan merupakan tanggungjawab besar dan orang yang tidak mampu menunaikan tanggungjawab tersebut akan menyebabkan bebanan kepada dirinya dan penderitaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani:

“Jawatan kepimpinan itu pada permulaannya merupakan penyesalan, pada pertengahannya kesengsaraan dan pada akhirnya azab pada hari kiamat”

Daripada penjelasan tersebut diatas dapat mengukuhkan kita bahawa sesuatu jawatan kepimpinan itu merupakan tanggungjawab yang besar dan tidak seharusnya diberikan kepada sebarangan orang. Hal itu dapat dibuktikan dengan tindakan Nabi s.a.w tidak memberikan kepimpinan kepada orang yang memintanya atau orang yang berhasrat untuk memegang jawatan tersebut. Dalam konteks lain, Nabi s.a.w berbuat demikian supaya umatnya berhati-hati dengan jawatan yang besar itu kerana kebiasaannya manusia menilai sesuatu itu baik untuk dirinya tanpa mengkaji tanggungjawab yang besar yang akan dipikul olehnya. Untuk itu, orang yang mengetahui hakikat tersebut sahaja tidak berminat memegang jawatan kepimpinan.
Hadis tersebut diatas juga menarik perhatian seluruh manusia supaya tidak menjadikan jawatan kepimpinan itu sebagai satu jawatan untuk mencari pengaruh dan publisiti atau material atau untuk kepentingan peribadi.

4 comments:

Muhd Syafiq Mat Jap said...

mudah-mudahan menjadi muhasabah untuk kita semua...

kepimpinan dipilih...bukan diminta...betul tu...namun,semua ada peranan...dan jangan pula salah faham,tidak boleh dalam satu organisasi semuanya zuhud...taknak menjadi pimpinan...organisasi,pertubuhan atau gerakan tetap memerlukan pemimpin...hatta ummat sendiri memerlukan orang yang layak untuk memimpin...Allah berfirman dalam an-nisa' 59 yg bermaksud "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada Ahlinya...."

namun begitu,tak boleh juga dalam satu organisasi semuanya gila kuasa nak jadi pimpinan...sampai sanggup rasuh merasuh.apa-apapun,bila dah diputuskan oleh mesyuarat (syura) maka itulah yang sebaiknya.

Persoalan, adakah calon dalam pilihanraya bagi menunaikan amanah rakyat dianggap sebagai meminta jawatan???

serikandi said...

Salam alaik

sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa di kalangan kamu yg melihat perkara mungkar hendaklah dia mengubah dgn tangannya,maka sekiranya tdk mampu,dia hendaklah mengubahnya dengan lidah,maka sekiranya tdk mampu,hendaklah benci di dlm hati dan benci dlm hati itu adalah selemah-lemah iman.."

sistem demokrasi mengajak masy menegakkan kuasa npemerintahan yg mampu mengubah dgn tgn,melalui pelaksanaan dan tindakan undang2
..Tanggungjawab ini tetap menjadi wajib dilaksanakan.Kebebasan demokrasi melalui pilihanraya hendaklah diambil bagi menentang perbuatan mungkar yg jg diberi hak dlm amalan demokrasi samada secara individu atau organisasi

Sabda Rasulullah SAW:
"Jihad yg plg baik adalah mengucapkan keadilan kpd kerajaan yg zalim."

Islam tidak menggalakkan umatnya meminta sebarang jawatan kepimpinan khususnya bagi sesiapa yang tidak dapat memastikan dirinya dapat menunaikan tanggungjawab tersebut dengan adil dalam erti kata sebenarnya.Tetapi dlm konteks pilihnraya ia adalah lantikan hasil syura@pilihan org ramai..Maksud meminta jawatan ini apabila dia meminta kekuasaan itu sendiri bukan diberi@dicadangkan..

Maaf,serba sedikit pendapat dr diri yg serba jahil dan kekurangan ini..jika ada sbrg pandangan dialu-alukan

Rujukan:ISLAM DAN DEMOKRASI,Abd Hadi Awang

Muhd Syafiq Mat Jap said...

Alhamdulillah...pandangan yang baik...saya pun dhaif juga...

pada pandangan saya yang dhaif dan dangkal ini, saya fahami bahawa konsep bagi sesebuah gerakan Islam, keputusan meletakkan seseorang sebagai calon yang bertanding bukanlah atas keputusan mana-mana individu. Tetapi ianya dibahaskan dan diputuskan melalui satu proses yg dinamakan syura. Syura yang melantik calon yang layak itu. Ianya ibarat keputusan melantik seseorang sebagai general perang dalam menghadapi suatu pertempuran.

Dari sudut mewakili jamaah atau gerakan Islam. calon tersebut tidak meminta dicalonkan. tetapi syura memutuskan untuk individu itu mewakili jamaah sebagai calon. Setelah diputuskan syura, calon itu adalah mewakili gerakan Islam. Wajib ia berjuang demi memenangkan gerakan Islam. sama seperti wajib seorang general perang berjuang memenangkan Islam di medan tempur.

Adapun persoalan waqi' pertempuran yang berbeza timbul dalam perkara berkaitan memenangi pertarungan. Jika waqi' pertarungan adalah berbentuk peperangan secara bertempur dengan kekuatan persenjataan, maka calon tersebut adalah sebagai ketua turus angkatan perang yang diutuskan bagi berperang memenangkan Islam dalam medan pertempuran.

Bagi waqi' demokrasi seperti di negara ini. Calon tersebut mewakili gerakan Islam untuk memenangkan gerakan Islam dalam pertempuran namun dengan memenangi sokongan dan memenangi hati rakyat sebanyak mungkin. maka, calon perlu menonjolkan kewibawaan diri demi memenangi pertempuran itu demi memenangkan Islam bukan memenangkan dirinya. kemenangannya bukanlah kemenangan peribadi. tetapi adalah kemenangan gerakan Islam.

Adapun, calon yang meminta jawatan sebenarnya adalah calon yang sanggup melakukan apa saja termasuklah sehingga melakukan jenayah rasuah ataupun mengampu pemimpin mereka semata-mata mahukan diri dicalonkan mewakili parti atau pertubuhan. meskipun individu terbabit tidak meminta jawatan secara lisan mahupun secara zahir. namun, perbuatannya menggambarkan kemahuan mereka terhadap jawatan tersebut.

wallahu'alam...sekadar pandangan tanpa rujukan....

Muhd Syafiq Mat Jap said...

Jangan meminta jawatan - Ustaz Azizan
Izwan Abdul Halim
Wed | Apr 22, 09 | 9:32:57 am MYT

ALOR SETAR, 22 April (Hrkh) - "Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Samrah agar tidak meminta-minta jawatan kerana seorang peminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan orang lain, tetapi orang yang tidak meminta jawatan pasti akan ditolong orang lain.

"Oleh itu, seseorang tidak perlu berkempen untuk meminta dirinya dicalonkan sebaliknya menyerahkan kepada sidang perwakilan menentukan perkara tersebut,"demikian intipati nasihat yang diungkapkan Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai mengulas pertanyaan pihak media berhubung pemilihan pucuk pimpinan PAS Pusat pada Muktamar PAS Pusat, Jun akan datang.

Menurutnya, tradisi pemilihan dalam PAS adalah untuk memilih mereka yang akan memberi sumbangan kepada kedudukan dan kemantapan parti.

"Mungkin kita hendak beri kita punya sumbangan dari segi idea dan gerakerja. Jika ahli nampak orang itu lebih layak, biarlah ahli memutuskan. Yang penting calon itu tak payah sibuklah minta orang pilih dia, saya yang itu saja tidak setuju.

"Pergi kempen pilih saya, pilih dia, tak payahlah. Kalau dia layak, dia tak minta pun orang akan pilih dia. Kalau dia tak layak, kalau dia minta pun orang tak pilih dia.

"Dalam Islam ini, Nabi pernah kata kepada seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Samrah; 'Jangan minta jawatan, kalau kamu minta kamu diberi, orang tak akan tolong - kerana kamu minta sangat, tetapi kalau kamu diberi jawatan tanpa kamu minta, orang akan tolong.

"Jadi tengoklah macam berlaku dalam Umno, mula-mula pakat minta lepas itu sampai ke politik wang. Bila politik wang berlakulah tidak malu lagi, dua hari nak buat pemilihan pun kena hukum tatatertib. Bukan calang-calang orang, orang yang taraf menteri dan sebagainya. Jadi budaya-budaya ini saya fikir tak patutlah bawa dalam PAS. Tak boleh ikut hal-hal seperti itu," katanya menitipkan nasihat.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan media berhubung terdapatnya desas-desus untuk pertandingan jawatan Presiden PAS dan pendirian PAS Kedah terhadap Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS Kedah dari dulu hingga sekarang akan tetap memberi sokongan kepada Hadi.

"Kita kalau nak tukar (misalnya) macam kereta, kalaulah kereta itu rosak, kereta buruk. Ini kereta tu baru, tak rosak, nak tukar buat apa? Kita Kedah memang macam biasa, perlulah bersedia, kita akan sokong Haji Hadi dan kalau ada orang lain nak lawan, biar dialah. Itu hak dia nak lawan.

"Haji Hadi pun bersedia untuk lawan siapa hendak lawan dia, itu keterbukaan kita dan kita tidak kempen orang jangan lawan Ustaz Hadi, lawanlah siapa hendak lawan," tegasnya pada sidang medianya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Asrama Puteri Baru Madrasah At-Taklimiah Al-Khairiah, Kampung Tok Keling, di sini semalam.

Ditanya calon sesuai untuk jawatan tersebut, beliau berkata: "Saya tiada idea. Saya tidak tahu. Calon ini mungkin, dia dua saja, satu orang ramai fikir dia calon sesuai. Yang kedua dia sendiri berasa dia sesuai, macam calon-calon Bebas di Bukit Selambau, semua kata sesuai jadi calon. Tapi akhirnya lawan kalah juga hilang deposit semua."

Diminta kenyataan beliau kemungkinan mempunyai hasrat untuk bertanding, Ustaz Azizan menegaskan bahawa perkara itu terserah kepada pencalonan.

"Tengoklah keadaan apa orang nak calon kepada saya, saya tak tahu. Memang selama ini saya tidak lawan, saya menang lama dah, tapi AJK PAS Pusatlah. Terpulang kalau orang cadang, kalau orang tak cadang nak lawan apa? Kita bukan nak pergi kempen," jawabnya menyebabkan sidang media itu gamat dengan gelak ketawa. - azm/mks.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20427&Itemid=1

>